Sunday, September 14, 2008

Aku hanya melihatnya ketikan terbujur kaku-Zaki

Salam KayBee




“Ki..,esok malam aku ingat nak buat tahlil untuk arwah sekejap…” Fitry yang membonceng bersuara sebaik motosikal aku hampir tiba di cafe Mahallah Ali. Kami bercadang untuk minum bersama selepas selesai menunaikan solat tarawih semalam. “…tapi tak ada orang yang boleh ketuainya…minta tolong mu boleh..?”, riak wajahnya penuh pengharapan. “…ramai yang akan datang tapi tak ada lagi orang yang akan ketuai majlis”, Fitry menambah seakan pilihanku hanyalah “Ok”. Aku kelu seketika. Membisu seribu bahasa. Rasa sayu kehilangan seorang sahabat yang hanya dilihat ketika terbujur kaku kembali menerjah fikiranku.


Siti Hajar Izham. Itulah nama penuh arwah yang diberitahu kepadaku. Beliau pergi mengadap Ilahi meninggalkan kami pada Isnin malam (8 September bersamaan 9 Ramadhan) yang lalu, sewaktu sahabat-sahabat yang lain sedang berada dalam majlis ilmu mengikuti kuliah oleh Ustaz Tarmizi Mat Din. Takdir atau kebetulan, ustaz banyak menyebut tentang persoalan kematian pada malam tersebut.


Malam itu berakhir tidak seperti kebiasaan. Aku terdengar esakan tangisan ketika berita kematian disampaikan beserta doa yang dibacakan oleh Presiden Ma’ruf Club, Akh Ridhwan Bakar. Masing² terasa hiba dengan kehilangan seorang sahabat seperjuangan. Ya, kami telah kehilangannya. Kehilangan yang sukar digalang ganti.


Malam itu aku bertekad untuk melawat arwah. Majoriti junior aku (baca : batch aku di matrik dulu) pun turut serta. Aku diberitahu arwah hanya sertai batch ni setelah aku melangkah masuk ke Kampus Gombak. Mungkin sebab itu aku memang tidak sempat mengenalinya. Saat kami berkumpul, masih ada yang menangis dan tidak kurang yang sukar mempercayai (baca : bukan tidak redha tapi seakan ia berlaku terlalu cepat dan dalam keadaan tidak bersedia) bahawa mereka telah ditinggalkan oleh arwah buat selamanya. Arwah masih muda. Baru nak masuk 23 tahun. Masih banyak perkara yang kami dan arwah boleh lakukan bersama pada waktu semuda ini. Namun Allah Ta’ala lebih menyayanginya daripada kami. Terasa ingin berkongsi kesedihan dengan junior aku yang sememangnya amat mengenali arwah, namun aku tahu kesedihan yang aku rasa tidak mampu dikongsi dengan kesedihan mereka alami.


Hari itu, kami bertolak lebih kurang pukul 12.30 tengah malam. 16 buah kereta semuanya. Membentuk dua kumpulan. Kumpulan pertama bergerak lebih awal. Aku berada di kumpulan kedua bersama 6-7 buah kereta yang lain kerana menunggu senior kami yang ingin turut serta.


Kami sampai lebih kurang sejam kemudian. Pemuda-pemudi memenuhi rumah arwah. Seketika demi seketika, mereka sampai. Mata aku memerhatikan keadaan sekeliling. “Alangkah beruntung arwah mempunyai kenalan seramai ini…”, detik hatiku. “…untuk
berkumpul dari pelbagai tempat seawal pagi ini memungkinkan mereka begitu rapat dengan arwah”, monologku lagi sendirian. Kami terdiri daripada senior arwah, sebatch dan junior dari Pusat Matrikulasi PJ & Nilai.


Ketika pihak muslimat membaca Yasin dan doa di dalam rumah, kami di bahagian muslimin bersila beramai-ramai di halaman rumah arwah bertahlil diketuai oleh seorang ustaz. Sayu bacaan kami pada pagi yang dingin itu. Selesai tahlil dan doa serta setelah hampir sejam lebih kami berada di sana, tiba giliran kami pula untuk menatap wajah arwah sebelum pulang.


gambar hiasan


Aku melangkah masuk ke rumah bersama² dengan sahabat² yang lain. Masih ramai muslimat yang berada di sisi arwah. Mereka bergilir² menatap wajah arwah buat kali terakhir sambil ada yang terus-menerus membacakan doa. Di celahan orang ramai itu, aku sempat menyelit untuk melihat wajah arwah. Tenang. Senyum. Namun terbujur kaku. Aku menatapnya, buat kali pertama..,dalam keadaan sedar inilah kali terakhirku melihatnya. Aku membisikkan kepada
Fitry untuk membacakan Al-Fatihah buat arwah kemudian diiringi sekalung doa. Aku turut membaca Fatihah dan doa sambil menatap wajah arwah. Terasa sebak di dada. Pelik. Aku tak pernah kenal arwah sebelum ini namun pada malam itu, aku berasa satu ‘kerugian’ tak dapat mengenali arwah semasa hayatnya.


Selepas mengatakan ‘ok’ kepada Fitry untuk mengetuai majlis tahlil, aku online seketika selepas itu untuk menyalari beberapa blog sahabat yang mengenali arwah. Naluri aku mengatakan mereka akan post entri terbaru berkenaan pemergian arwah. Satu persatu blog daripada sahabat aku singgah. Mataku tertumpu jika entri tersebut wujud. Seluruh diriku hanya berminat pada entri itu sahaja. Hanya jariku bergerak mengawal tetikus. Pemergian arwah sesungguhnya amat diratapi. Tanpa disedari, kelopak mataku bergenang. Air mataku hampir menitis. Aku kesat, sebelum ia singgah di pipi. Perasaan sayu mula menguasai diri.


Arwah memang telah lama sakit. Hanya sempat menyambung pelajarannya di Kampus Gombak sewaktu sem pendek dan 2 minggu pertama sem panjang awal Julai yang lalu. Selepas itu, arwah jatuh sakit. Sebaik keadaannya semakin teruk, arwah terpaksa berada di rumahnya. Beberapa kali juga sahabat² menziarahinya. Walaupun raut wajah arwah agak ketara perubahannya, kata mereka, arwah masih boleh berdiri, berjalan dan bergurau-senda. Seperti kebiasaannya. Arwah masih seperti dulu. Baik hati, ceria dan selalu tersenyum.


Malam itu, arwah solat Isya’ agak awal. Selepas itu, arwah memberitahu ibunya untuk tidur buat seketika kerana mahu menghilangkan rasa letih. Ibu dan nenek arwah kemudian solat bersama² seperti biasa. Arwah pula tidur,berhampiran mereka. Sebaik sahaja mereka selesai solat, ketika mana ibu arwah mahu menggeraknya bangun, arwah dikatakan tidak mahu bangun tanpa ibunya sedari, tidur arwah kali ini bukan tidur seketika. Tidurnya tidur yang tiada penghujungnya. Arwah memang tidak akan bangun lagi. Arwah telah pergi buat selamanya. Meninggalkan kita semua.


gambar hiasan


Janji Allah memang tidak dapat ditakwilkan. Kematian itu jika diperintahkan ke atas makhluk-Nya, tidak akan diawalkan sedetik atau dilewatkan seketika. Aku menadah tangan ke hadrat Ilahi menghadiahkan doa buat sahabat perjuanganku Siti Hajar Izham yang telah mendahului kami mengikuti orang² terdahulu mengadap Tuhan Rabbul ‘Izzati. Arwah pergi meninggalkan kami pada usia sebegitu muda, dalam keadaan terbaik dan pada bulan terbaik. Aku merendah diri merafa’kan doa pada-Nya mengharapkan kami turut akan menyusuli jalan yang telah arwah Hajar lalui dan jalan mereka yang sebelumnya telah tempuhi. اللهم أشهد


ألحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على خاتم النبين محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين
أللهم أنت ربنا وربها وأنت خلقتنا وخلقتها وأنت هديتهنا وهديتها
وأنت سيقبض روحنا وأنت قد قبضت روحها
فارحمنا وارحمها وعافنا واعف عنها

أللهم لا تحرمنا أجرها ولا تفتنا بعدها واجعل قبرها روضة من رياض الجنة
وأنت أعلم بسرنا وسرها
وأنت أعلم بعلايتنا وعلايتها
فاغفرلنا ولها
انك غفور رحيم

أللهم اغفر لحينا وميتنا وشاهدنا وغائبنا
ومن أحييته منا فأحييه بالاسلام ومن توفيته منا فتوفه على الايمان

أللهم آمين
وصلى ألله على محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين و ألحمد لله رب العالمين


Buat rakan-rakan yang membaca entri ini, sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Siti Hajar Binti Izham. Al-Fatihah.


Wassalam,
013-9489849

No comments: