Tuesday, September 8, 2009

Setahun Berlalu .........

Kata orang masa adalah penawar paling mujarab dalam menyembuh segala jenis penyakit terutama penyakit yang tidak ada ubatnya. Tentu kenyataan ini ada yang pertikaikan kerana mengikut hadis Nabi saw “semua penyakit ada ubat kecuali tua dan mati”. Jikalau begitu Anak Bapa tarik balik kenyataan di atas dan menggantikan dengan penyakit yang paling payah nak cari penawar iaitu penyakit pilu dan rindu.

Hari ini genap sudah 1 tahun pemergian puteri tersayang Anak Bapa, Siti Hajar. Pada 8 Ramadan tahun lepas bersamaan 7 September 2009, ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan solat tarawih, Kakak pergi dengan tenang meninggalkan kita buat selama-lamanya di dunia fana ini. Sepanjang setahun yang lepas kami sekeluarga setiap hari terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa Kakak ”pergi tak kembali” lagi. Wajahnya, tingkah lakunya, tutur bicaranya sentiasa menghiasi kehidupan keluarga kami seolah-olah Kakak sentiasa di sisi kami dan tak pernah pun meninggalkan kami. Acapkali kami kembali ke rumah asal di Kelana Jaya pada hujung minggu, kesuraman tetap terasa dan kerinduan terus memukul kalbu. Tetapi apakan daya, Allah swt lebih mengetahui dan lebih bijaksana. KetentuanNya jauh lebih adil dan bijak daripada perancangan dan kehendak makhluk.

Kesyukuran yang amat sangat ke hadrat Allah swt kerana memberi kekuatan kami sekeluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Alhamdulillah kami berjaya setakat ini menghadapi ujian ini, malah ia dapat pula dijadikan pengiktibaran kepada anak-anak yang masih tinggal. Anak Bapa seringkali mengingatkan ahli keluarga bahawa betapa istimewanya Kakak dan keistimewaan itu adalah kerana kehidupannya sentiasa berlandaskan Islam. Dan jika sekiranya kita sayang antara satu sama lain dan ingin dibangkitkan bersama di akhirat nanti maka kehidupan Kakak perlu dijadikan contoh dan diikuti. Ketika hidup dahulu, Kakak sentiasa menjaga ibadatnya terutama solat Tahajjud, menjaga aurat dan kehormatan, suka membantu rakan dan orang lain, tidak terikat dengan kemewahan dan perhiasan duniawi, benci kepada perkara mungkar (malah untuk belajar di UIA pun dia tak mahu ambik pinjaman kerana ada unsur riba’), menegur perkara yang dianggap mungkar (seperti bapa-bapa saudaranya yang kaki perokok) dan pelbagai lagi ciri-ciri makruf lain yang terpancar dari kehidupannya.

Ada satu ciri yang seringkali menyentuh perasaan Anak Bapa apabila mengenangkannya, iaitu betapa sayang dan manjanya beliau kepada Anak Bapa. Selaku anak sulong, sifat manja keanak-anakkan tetap terserlah setiap kali bertemu Anak Bapa. Apabila ada teguran daripada Anak Bapa, Kakak akan spontan menjawab ”yes daddy” dengan nada yang penuh jenaka dan menghiburkan. Anak Bapa seringkali menalipon Kakak dan anak-anak lain waktu dekat-dekat Maghrib ketika mereka berada di Universiti masing-masing untuk bertanya khabar dan samada mereka sedang membuat persiapan untuk solat. Istimewanya Kakak ialah apabila habis bercakap, selang beberapa minit kemudian Anak Bapa akan menerima SMS daripadanya yang berbunyi ”You are the best dad in the whole world. Kakak saaaaayang ayah”. Begitulah kehidupan Kakak, tenang dan tabah dalam menghadapi segala kesukaran.

Anak Bapa masih ingat lagi ketika Kakak dibesarkan, berbanding dengan anak-anak yang lain, kehidupan Anak Bapa agak susah dan dengan itu Kakak pun terpaksa berpuas hati dengan keperluan hidup ala kadar. Tetapi beliau tak pernah merungut malah kehidupan yang serba sederhana ini telah menjadi sebati dengannya sehingga apabila kehidupan Anak Bapa agak mewah pun beliau masih lagi bersederhana dalam segala segi. Inilah kepiluan dan kerinduan yang ”I missed so much” tentang Kakak. Apa yang penting baginya ialah ilmu dan sumbangan kepada perjuangan Islam dan membantu sahabat dan rakan lain. Anak Bapa doakan anak-anak yang lain juga akan mewarisi sifat Kakak dan alhamdulillah adik perempuannya yang di UM dan adik lelaki yang di UIA pun dah mula nampak mengikuti jejak langkah Kakak kesayangan mereka.

Rakan-rakan Kakak daripada UIA dan Darul Ulum pun tak henti-henti mengunjungi kami dan bertanya khabar. Anak Bapa yakin mereka pun terasa kehilangan seorang sahabat dan pemimpin. Moga qudwah yang dibawa olek Kakak akan juga memberi semangat dan pedoman kepada mereka dalam menjejaki kehidupan seharian mereka. Pada kami sekeluarga pula, pemergian Kakak sebenarnya mengukuhkan lagi komitmen dan kesedaran betapa kerdilnya kita insan ini dan betapa kehidupan sebenar adalah disisi Allah swt kelak. InsyAllah kami sekeluarga berjanji akan terus tabah dan akan menjadikan pemergian Kakak sebagai sumber inspirasi kepada kami dan mereka-mereka yang bersama dengan kami dalam menjejaki kehidupan berlandaskan marzatillah ini selagi mana hayat di kandung badan.

Anak Bapa: Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Kakak ............ (Allah saja yang tahu) .......

daripada :http://anakbapa.blogspot.com/2009/09/setahun-berlalu.html

Tuesday, September 16, 2008

Innalillah..- Nazirah

Sukar rasanya untuk menerima kenyataan ini, ukhti siti hajar izham telah kembali ke rahmatullah tanggal 8 september 2008, sebulan sebelum ulangtahun kelahirannya yang ke-23. K.hajar yang telah kami anggap seperti kakak sendiri meninggal dalam usia yang begitu muda..saya rasa seperti bermimpi..tapi itulah hakikat yang terpaksa kami terima. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati, ini takdir yang tidak dapat diubah.

Malam 2 tengah ulangkaji, esok-9hb ada exam. Dalam lebih kurang pukul 12mlm dapat panggilan dari lin (haslinda)
"Jie...jie..." kedengaran suara menangis..
"Lin, kenapa ni lin??" sangkaan saya lin ada masalah.
"Jie...k.hajar dah takde..." suara lin teresak2 di hujung talian. Saya terkedu, tidak percaya, betulkah apa yang saya dengar ni?
"Jie..k.hajar dah takde, dia dah pergi.." lin menangis lagi.
"Innalillahi wainna ilaihiraji'un.." air mata tak dapat ditahan lagi, saya menangis semahu-mahunya..
"Ya Allah..k.hajar dah pergi,moga dia ditempatkan di kalangan hamba-Mu yang beriman,ameen" hati saya berdoa.
"Macam mana aku nak study ni?" terus hilang mood, saya tak dapat tumpukan perhatian dalam keadaan begini. Lama saya termenung dan cuba menenangkan diri. Air mata terus mengalir tanpa henti, sebak, pedih rasanya untuk menerima sebuah kehilangan. Saya gagahkan diri juga sambung study walaupun dengan linangan air mata.
Sahabat2 lain ramai yang terus ke rumah k.hajar malam tu juga. 1pagi dapat panggilan dari ain malek, katanya on the way ke rumah k.hajar. Dalam 3lebih alifah call, dah nak balik..saya masih belum tidur, masih mengadap nota.
Jam 4 pagi k.imah pula yang call, "tak tidur lagi?"
"Belum..akak dh blk?" saya bertanya.
"Em, baru je sampai.."
Sedih jugak sebab tak dapat ikut semalam.

9hb..
Sebelum gi kelas semasa tengah bersiap pagi tadi, hajar kt kuantan call, "Jie, betul ke hajar dah xde? Bila? Kat mana? Dia sakit ape?"
bertubi2 soalan hajar tanya, inginkan kepastian dari saya. Saya hanya mengiyakan, menjawab lesu..
Dalam kelas pagi tu tak dapat fokus sangat, fikiran rasa melayang2 je..saya tengok mata wani bengkak, saya tahu dia menangis..memang kami sedih. Lepas kelas tu baru exam, saya cuba jawab sebaik mungkin, walaupun fikiran saya asyik teringatkan k.hajar..
Tengahari tadi bertolak ke sana, sebaik sampai di masjid van jenazah dah bergerak keluar, kami ikut je van jenazah tu sampai ke tanah perkuburan islam shah alam. Saya agak terkilan sebab tak sempat menatap wajah arwah untuk kali yang terakhir, cuma sempat melihat jenazah diturunkan ke dalam liang lahad. Rasa sebak tak dapat ditahan, air mata terus mengalir sepanjang berada di sana. Saya terfikir bagaimana sekiranya saya yang berada di tempat k.hajar?
Macam mana keadaan dia di sana? Pelbagai persoalan bermain-main di fikiran ketika itu. Sahabat2 lain turut berada di sana, ramai yang mengiringi jenazah, hati saya terus berdoa moga2 Allah tempatkan arwah bersama hamba-Nya yang beriman, bersama kekasih-Nya..
Dalam perjalanan pulang hati saya rasa sungguh sayu, kami tak dapat jumpa dia lagi lepas ni..sampai bila2..
Lepas terawih dan witir tadi kami buat solat sunat jenazah ghaib untuk arwah, pilu hati saya bila mendengar namanya disebut. Air mata tak berhenti mengalir sepanjang solat, saya cuba gagahkan diri & kuatkan semangat. Sedih memamg sedih, tapi hidup ini perlu diteruskan, saya sedar kita semua akan menghadapi kematian, cuma cepat atau lambat, kita tak tahu..
Kalma2
"Izinkan kami bertemu di syurga-Mu Ya Allah..Allahummaghfirlaha warhamha..."

"Apabila hati sedih dengan ujian kehidupan yang melelahkan jiwa, alirkanlah air matamu wahai jiwa.. Tumpahlah ke tikar solatmu.. Sesungguhnya Allah mendengar tangisanmu yang memohon kasih-Nya..."

Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan

Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”. Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin …….

Sunday, September 14, 2008

Bunga Yang Hilang-sharif ahmad

Salam takziah buat sahabat seperjuangan Kak hajar Izham, yang meninggal dunia malam tadi dalam perjalanan ke hospital. Moga Allah merahmati ruh dan pemergianmu dalam keadaan redha dan diredhai..radhiatan mardhiah..

Dalam sedar dan tidak, seorang dari kalangan sahabat2 ku mula meninggalkan dunia..beliau (kak hajar) adalah orang kedua yang meninggal pada usia muda. sebelum ini sahabat seusia 21 tahun rosmizi berlalu dari dunia. Apa yang berbekas padaku ialah senyuman kedua sahabatku ini masih segar dalam ingatan..

Dalam kesedihan MAlaysia bersedih dengan kehilangan Pak Samad (A. Samad Ismail) 4.9.08 veteran pejuang kemerdekaan Malaysia, yang perjuangan beliau menentang penjajahan Jepun dan British melalui Kesatuan Melayu Muda, disusuli peranan beliau mendrafkan Perlembagaan Rakyat bersama-sama Pak Sako dan Ahmad Boestamam...meninggal pula Kak Hajar yang saya kira tidak kurang besar jasanya dalam perjuangan memartabatkan Islam ini.

Orangnya yang manis dan senantiasa tersenyum menjadikan dia senang dan disennangi segenap lapisan masyarakat.Moga Allah menempatkan beliau dalam kalangan safwatul mukhtarah.al-fatihah

Aku hanya melihatnya ketikan terbujur kaku-Zaki

Salam KayBee




“Ki..,esok malam aku ingat nak buat tahlil untuk arwah sekejap…” Fitry yang membonceng bersuara sebaik motosikal aku hampir tiba di cafe Mahallah Ali. Kami bercadang untuk minum bersama selepas selesai menunaikan solat tarawih semalam. “…tapi tak ada orang yang boleh ketuainya…minta tolong mu boleh..?”, riak wajahnya penuh pengharapan. “…ramai yang akan datang tapi tak ada lagi orang yang akan ketuai majlis”, Fitry menambah seakan pilihanku hanyalah “Ok”. Aku kelu seketika. Membisu seribu bahasa. Rasa sayu kehilangan seorang sahabat yang hanya dilihat ketika terbujur kaku kembali menerjah fikiranku.


Siti Hajar Izham. Itulah nama penuh arwah yang diberitahu kepadaku. Beliau pergi mengadap Ilahi meninggalkan kami pada Isnin malam (8 September bersamaan 9 Ramadhan) yang lalu, sewaktu sahabat-sahabat yang lain sedang berada dalam majlis ilmu mengikuti kuliah oleh Ustaz Tarmizi Mat Din. Takdir atau kebetulan, ustaz banyak menyebut tentang persoalan kematian pada malam tersebut.


Malam itu berakhir tidak seperti kebiasaan. Aku terdengar esakan tangisan ketika berita kematian disampaikan beserta doa yang dibacakan oleh Presiden Ma’ruf Club, Akh Ridhwan Bakar. Masing² terasa hiba dengan kehilangan seorang sahabat seperjuangan. Ya, kami telah kehilangannya. Kehilangan yang sukar digalang ganti.


Malam itu aku bertekad untuk melawat arwah. Majoriti junior aku (baca : batch aku di matrik dulu) pun turut serta. Aku diberitahu arwah hanya sertai batch ni setelah aku melangkah masuk ke Kampus Gombak. Mungkin sebab itu aku memang tidak sempat mengenalinya. Saat kami berkumpul, masih ada yang menangis dan tidak kurang yang sukar mempercayai (baca : bukan tidak redha tapi seakan ia berlaku terlalu cepat dan dalam keadaan tidak bersedia) bahawa mereka telah ditinggalkan oleh arwah buat selamanya. Arwah masih muda. Baru nak masuk 23 tahun. Masih banyak perkara yang kami dan arwah boleh lakukan bersama pada waktu semuda ini. Namun Allah Ta’ala lebih menyayanginya daripada kami. Terasa ingin berkongsi kesedihan dengan junior aku yang sememangnya amat mengenali arwah, namun aku tahu kesedihan yang aku rasa tidak mampu dikongsi dengan kesedihan mereka alami.


Hari itu, kami bertolak lebih kurang pukul 12.30 tengah malam. 16 buah kereta semuanya. Membentuk dua kumpulan. Kumpulan pertama bergerak lebih awal. Aku berada di kumpulan kedua bersama 6-7 buah kereta yang lain kerana menunggu senior kami yang ingin turut serta.


Kami sampai lebih kurang sejam kemudian. Pemuda-pemudi memenuhi rumah arwah. Seketika demi seketika, mereka sampai. Mata aku memerhatikan keadaan sekeliling. “Alangkah beruntung arwah mempunyai kenalan seramai ini…”, detik hatiku. “…untuk
berkumpul dari pelbagai tempat seawal pagi ini memungkinkan mereka begitu rapat dengan arwah”, monologku lagi sendirian. Kami terdiri daripada senior arwah, sebatch dan junior dari Pusat Matrikulasi PJ & Nilai.


Ketika pihak muslimat membaca Yasin dan doa di dalam rumah, kami di bahagian muslimin bersila beramai-ramai di halaman rumah arwah bertahlil diketuai oleh seorang ustaz. Sayu bacaan kami pada pagi yang dingin itu. Selesai tahlil dan doa serta setelah hampir sejam lebih kami berada di sana, tiba giliran kami pula untuk menatap wajah arwah sebelum pulang.


gambar hiasan


Aku melangkah masuk ke rumah bersama² dengan sahabat² yang lain. Masih ramai muslimat yang berada di sisi arwah. Mereka bergilir² menatap wajah arwah buat kali terakhir sambil ada yang terus-menerus membacakan doa. Di celahan orang ramai itu, aku sempat menyelit untuk melihat wajah arwah. Tenang. Senyum. Namun terbujur kaku. Aku menatapnya, buat kali pertama..,dalam keadaan sedar inilah kali terakhirku melihatnya. Aku membisikkan kepada
Fitry untuk membacakan Al-Fatihah buat arwah kemudian diiringi sekalung doa. Aku turut membaca Fatihah dan doa sambil menatap wajah arwah. Terasa sebak di dada. Pelik. Aku tak pernah kenal arwah sebelum ini namun pada malam itu, aku berasa satu ‘kerugian’ tak dapat mengenali arwah semasa hayatnya.


Selepas mengatakan ‘ok’ kepada Fitry untuk mengetuai majlis tahlil, aku online seketika selepas itu untuk menyalari beberapa blog sahabat yang mengenali arwah. Naluri aku mengatakan mereka akan post entri terbaru berkenaan pemergian arwah. Satu persatu blog daripada sahabat aku singgah. Mataku tertumpu jika entri tersebut wujud. Seluruh diriku hanya berminat pada entri itu sahaja. Hanya jariku bergerak mengawal tetikus. Pemergian arwah sesungguhnya amat diratapi. Tanpa disedari, kelopak mataku bergenang. Air mataku hampir menitis. Aku kesat, sebelum ia singgah di pipi. Perasaan sayu mula menguasai diri.


Arwah memang telah lama sakit. Hanya sempat menyambung pelajarannya di Kampus Gombak sewaktu sem pendek dan 2 minggu pertama sem panjang awal Julai yang lalu. Selepas itu, arwah jatuh sakit. Sebaik keadaannya semakin teruk, arwah terpaksa berada di rumahnya. Beberapa kali juga sahabat² menziarahinya. Walaupun raut wajah arwah agak ketara perubahannya, kata mereka, arwah masih boleh berdiri, berjalan dan bergurau-senda. Seperti kebiasaannya. Arwah masih seperti dulu. Baik hati, ceria dan selalu tersenyum.


Malam itu, arwah solat Isya’ agak awal. Selepas itu, arwah memberitahu ibunya untuk tidur buat seketika kerana mahu menghilangkan rasa letih. Ibu dan nenek arwah kemudian solat bersama² seperti biasa. Arwah pula tidur,berhampiran mereka. Sebaik sahaja mereka selesai solat, ketika mana ibu arwah mahu menggeraknya bangun, arwah dikatakan tidak mahu bangun tanpa ibunya sedari, tidur arwah kali ini bukan tidur seketika. Tidurnya tidur yang tiada penghujungnya. Arwah memang tidak akan bangun lagi. Arwah telah pergi buat selamanya. Meninggalkan kita semua.


gambar hiasan


Janji Allah memang tidak dapat ditakwilkan. Kematian itu jika diperintahkan ke atas makhluk-Nya, tidak akan diawalkan sedetik atau dilewatkan seketika. Aku menadah tangan ke hadrat Ilahi menghadiahkan doa buat sahabat perjuanganku Siti Hajar Izham yang telah mendahului kami mengikuti orang² terdahulu mengadap Tuhan Rabbul ‘Izzati. Arwah pergi meninggalkan kami pada usia sebegitu muda, dalam keadaan terbaik dan pada bulan terbaik. Aku merendah diri merafa’kan doa pada-Nya mengharapkan kami turut akan menyusuli jalan yang telah arwah Hajar lalui dan jalan mereka yang sebelumnya telah tempuhi. اللهم أشهد


ألحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على خاتم النبين محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين
أللهم أنت ربنا وربها وأنت خلقتنا وخلقتها وأنت هديتهنا وهديتها
وأنت سيقبض روحنا وأنت قد قبضت روحها
فارحمنا وارحمها وعافنا واعف عنها

أللهم لا تحرمنا أجرها ولا تفتنا بعدها واجعل قبرها روضة من رياض الجنة
وأنت أعلم بسرنا وسرها
وأنت أعلم بعلايتنا وعلايتها
فاغفرلنا ولها
انك غفور رحيم

أللهم اغفر لحينا وميتنا وشاهدنا وغائبنا
ومن أحييته منا فأحييه بالاسلام ومن توفيته منا فتوفه على الايمان

أللهم آمين
وصلى ألله على محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين و ألحمد لله رب العالمين


Buat rakan-rakan yang membaca entri ini, sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Siti Hajar Binti Izham. Al-Fatihah.


Wassalam,
013-9489849

Saturday, September 13, 2008

WAKAFA BILMAUTI WA'IZHAN - Kak Imah

Setiap yang hidup Pasti akan mati

sedang kami mendengar tawjihat dari seorang ustaz,tibe2 sahabatku fadhilah mendapat berita daripada keluarga sahabat kami bahawa beliau telah tiada lagi ketika dalam perjalanan ke hospital.kami yang sebatch amat2 terkejut dan sedih dgn berita itu.perginya seorang raisah batch,kakak,sahabat seperjuangan islam...iaitu Allahyarhamah siti hajar izham,23thn.saya & beberapa org sahabat tidak dapat meneruskan tumpuan dlm liqa' tersebut dan keluar dari audi untuk membincangkan sesuatu untuk memberitahu sahabt2 seperjuangan di pj & kuantan dan membincangkan pergerakan untuk melawat Allahyarhamah.ya Allah,xdpt diri ini membayangkan betapa tkejutnye dgn berita itu.mmg kesihatan beliau tidak menentu.dr mengatakan bahawa beliau menghidap penyakit sendi dan dlm masa yg sama juga mgalami penyakit dalaman yg lain,wallahua'lam.dlm jam 1pagi lebih kami muslimin muslimat dgn lbh kurang 10 kenderaan bgerak ke rumah Allahyarham...lbh kurang jam 2.30am kami sampai,sanak saudara & jiran tetangga sudah memenuhi ruang rumah....di si2 kami dapat melihat wajah terakhir k.hajar...air mata ini mula membasahi pipi semula...sebelum pulang sempatlah diri ini & sahbt2 yg lain mencium & menatap wajah k.hajar...dgn senyuman yg masih terukir....subhanallah...meninggal di bulan ramadhan,di bulan mulia...bagaimanakah kita nanti sahabat???wallahua'lam...

kak hajar adalah kakak setelah saya.baru diri ni nak merasai jd adik,tp apakan daya Allah lbh menyayanginye.seorang yg ceria,membuatkan sesiapa sahaja mudah mendekati beliau.seorang yg suka memberi nasihat thadap adik2nye,dan yg pasti seorang srikandi yg bersama2 terlibat dlm perjuangan islam...kehilanganmu amat kami rasai kak hajar...teramat2 kami rasai...xterungkap sayu di hati kami ini...moga dirimu ditempatkan dikalangan orang-orang soleh.



Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa


Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
kau sahabatku kau teman sejati

al-fatihah buat Allahyarhamah siti hajar izham@k.hajar...alfatihah...
wakafa bilmauti wa'izhan(cukuplah sekadar mati i2 mjadi peringatan)
moga memberi peringatan bahawa kita jua akan turut serta nanti menemui mati...
bila,di mana & bagaimana???wallahua'lam...

Kehadiran dan Kehilangan...-Imran



BismiLlaahi WalHamduliLlaah…

Semalam aku dikejutkan dengan mesej yang terpapar pd skrin handsetku, “k.hajar meninggal dunia td.Al-Fatihah”. Lalu aku cuba memastikan kesahihannya krn mungkin ada perkataan “nenek” atau “datuk” atau lain-lain yang biasa aku dengar. Namun akhirnya berita mengesahkan bhw yang meninggal itu memang k.hajar,bukan atulknya mahupun neneknya.

Aku tersentak dengan berita ini,seakan tidak percaya. Rasanya baru beberapa bulan yang lepas ada liqa’ perpisahan di Pusat Asasi UIAM ketika short-sem. Beliau mengambil jurusan Bahasa Arab di UIAM Gombak. Masih segar di ingatanku bagaimana beliau begitu bersemangat dan bertanggungjawab dalam usaha dakwah dan tarbiyyah di Pusat Asasi UIAM Nilai, dengan wajah yang sentiasa tenang.

Namun, dalam kesedihan, tetap terbit perasaan syukur dan gembira dalam diriku; beliau dijemput menghadapNya pada malam 9 Ramadhan, satu bulan yang sangat mulia,semua insan pasti mempunyai hasrat untuk kembali menghadapNya pada malam Ramadhan jua,begitu juga aku. Moga-moga roh beliau berada di kalangan orang-orang yang diredhai Allah.

Inilah kehidupan, datang dan pergi setiap hari. Kelahiran dan kematian pasti ada di mana-mana. Aku baru sahaja menyambut kelahiran anak sulungku pada 17 Ogos yang lalu, entah bila kematian akan menyambutku (atau mungkin merentapku, A’uuzuibiLlaahi Min zaalik.)

WaLlaahu’alam.